Tapi sebenarnya....

Alangkah mudah bagi kita untuk mengatakan sesuatu ciptaan manusia itu sebagai suatu keajaiban..manakala ciptaan-ciptaan Tuhan yang Agung kita anggap sebagai sesuatu yang 'biasa'..
Semoga kita hayati keajaiban yang betul-betul ajaib dalam hidup kita..
Renungkan...

Tuesday, January 4, 2011

5 Buah Buku Rujukan Kaedah Fiqh Dalam Mazhab Shafie

1. Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam
Karangan Izzuddin bin Abdul Salam (577-660 H)
Nama penuh: Izzuddin Abdul Aziz bin Abdul Salam, asSulami, berasal dari Maghribi, kelahiran Damsyik, menetap dan meninggal di Mesir, digelar Sultan al-Ulama oleh Ibn Daqiq al-Eid
Dilahirkan pada tahun 578 H. Mempelajari ilmu Usul Fiqh melalui al-Aamidi. Terkenal dalam bidang Fiqh, Tafsir dan Bahasa Arab. Beliau mengatasi rakan-rakan lain yang sezaman dengannya dalam pelbagai bidang ilmu. Beliau menjadi seorang tokoh hebat di zamannya, terutama berkenaan Syariah. Tidak ada tandingan dari segi warak dan keberanian berhujjah menegakkan kebenaran.
Di hari kematiannya di Kaherah, jenazahnya dihadiri begitu ramai manusia. Di antara tulisannya ialah al-Tafsir al-Kabir dan Qawaid al-Syariah.

Kandungan buku:
Buku ini ialah di antara buku terawal dalam bidang ini. Pengarang juga menyebut bahawa beliau menyusun bukunya dan mengumpulkan Kaedah-kaedah Fiqh tidak dalam satu bentuk tertentu:
'Tujuan menulis buku ini ialah menerangkan kepentingan-kepentingan yang diperolehi dari bentuk ketaatan yang dibuat, muamalat dan semua tindakan oleh seorang hamba Allah. Ia juga menerangkan bentuk larangan yang perlu dijauhi seorang hamba Allah, dan menerangkan kepentingan ibadat supaya seorang hamba Allah itu beribadat dalam keadaan paling baik. Buku ini juga menjelaskan kepentingan yang perlu didahulukan ke atas kepentingan yang lain dan melewatkan kemudaratan mengatasi yang lain. Dan perkara yang termasuk di bawah usaha seorang manusia berbanding perkara yang tidak mampu dilakukan olehnya.'
Keseluruhan buku ini membincangkan Kaedah syarak yang asasi 'menarik kepentingan dan menolak kemudaratan.' Kaedah fiqh lain yang didapati dalam buku ini dirujuk kepada kaedah umum ini.

Di antara kaedah yang disebut di dalam buku ini ialah seperti berikut:
1. الاصل ان تزول الاحكام بزوال عللها
'Asalnya sesuatu hukum itu hilang dengan sebab hilangnya ilat'.

2. من كلف بشيء من الطاعات فقدر على بعضه وعجز عن بعضه فانه ياتي بما قدر عليه ويسقط عنه ما يعجز عنه
'Sesiapa yang dibebankan dengan sesuatu ketaatan, ia mampu melakukan sebahagiannya dan tidak mampu terhadap sebahagian yang lain, maka ia melakukan perkara yang mampu dilakukannya dan gugur darinya perkara yang ia tidak mampu melakukannya.' Pengarang menyebutkan kaedah ini di tempat lain dengan lafaz lain: لا يسقط الميسور بالمعسور'Perkara yang mudah tidak gugur dengan sebab perkara yang sukar.'

3. كل تصرف جر فسادا او دفع صلاحا فهو منهي عنه
Setiap tindakan yang membawa kerosakan atau menolak kebaikan adalah ditegah.'

4. ما احل لضرورة او حاجة يقدر بقدرها ويزال بزوالها
'Perkara yang dihalalkan kerana darurat atau hajat, ia diukur mengikut ukurannya, dan perkara itu hilang apabila darurat dan hajat itu hilang.'

5. كل ما يثبت في العرف اذا صرح المتعاقدان بخلافه بما يوافق مقصود العقد لزمه فلو شرط المستاجر على الاجير ان يستوعب النهار بالعمل من غير اكل وشر لزمه ذلك
Setiap perkara yang thabit secara uruf, apabila dijelaskan oleh mereka yang berkontrak menyalahi uruf dan masih menuruti tuntutan kontrak, maka akad itu adalah lazim (diteruskan). Jika seorang pengupah mensyaratkan kepada pengambil upah supaya bekerja sepanjang siang tanpa disediakan makan minum..kontrak tersebut diteruskan.'



6. حفظ الموجود اولى من تحصيل المفقود ودفع الضرر اولى من جلب النفع
'Memelihara perkara yang sedia ada lebih patut dari mendapatkan perkara yang hilang. Menolak kemudaratan lebih utama dari menarik kemanfaatan.'

7. يصرف كل مال خاص في جهاته اهمها فاهمها ويصرف ما وجده من المصالح العامة في مصارفها
اصلحها فاصلحها
'Setiap harta khusus digunakan pada tempat sepatutnya menurut keutamaan, dan digunakan perkara melibatkan kepentingan awam mengikut keutamaannya.'

8. القليل يتبع الكثير في العقود
'Perkara yang sedikit menurut perkara yang banyak dalam kontrak yang dibuat.'

9. من وضع يده خطا على مال غيره لزمه ضمانه الا الحكام وامناء الحكام فيما يتعلق بعهدة ما باعوه'
‘Sesiapa yang meletakkan tangannya secara tersalah ke atas harta orang lain, ia mesti menggantikannya (memberi pampasan), melainkan pemerintah dan wakilnya dalam perkara berkaitan perjanjian jualannya.'

10. الاصل في الضمان ان يضمن المثلي بمثله والمتقوم بقيمته فان تعذر المثل رجع الى القيمة جبرا للمالية
‘Asal dalam perkara gantirugi ialah gantian seumpamanya, perkara yang boleh dikira harga dengan harganya. Jika tidak dapat demikian, dikembalikan kepada nilaiannya sebagai menampung kepada perkara yang ada nilai harga.'

Al-Imam al-Alai'i menyebut dalam muqaddimah al-Qawaid: " Kitab al-Qawaid yang dikarang oleh Sheikh al-Islam Izzuddin bin Abdul Salam ialah sebuah kitab yang tiada tolok bandingnya dalam bidangnya."
Ada beberapa pandangan dan ijtihad dalam kitab tersebut yang menjadi tumpuan dan kritikan kepada sebahagian fuqaha. Justru, al-Imam Sirajuddin al-Bulqini mengarang kitabnya al-Fawaid al-Jisam ala Qawaid Ibn Abdul Salam dan Muhammad al-Wanughi al-Maliki juga mengkritik Izzuddin ibn Abdul Salam. Sarjana lain iaitu Abu Ishak as-Shatibi mengurang dan menambah dalam kitabnya al-Muwafaqat fi usul al-Syariah. Beliau memasukkan kaedah-kaedah berkaitan maslahah (kepentingan) dan membuat penilaian yang cukup baik.
2. Al-Asybah wanNazair

Karangan Muhammad bin Umar bin Makki yang digelar Sadruddin, dan dipanggil Abu Abdullah bin al-Murahhil. Dikenali di Syam sebagai Ibn Wakil al-Misri. Beliau dikenali dengan nama tersebut sehingga ke akhir hayatnya.
Lahir di Dimyat pada tahun 665 H. Membesar di Damsyik dan mempelajari ilmu melalui bapanya dan fuqaha hebat di zamannya. Beliau mempelajari Usul Fiqh dari Safiyuddin al-Hindi. Beliau seorang yang hebat di zamannya dari segi kecerdikan, hafalan dan ingatan.

Ibn Kathir menyebut tentang Ibn Murahhil: " Beliau ialah sheikh asShafiiyyah di zamannya, paling masyhur pada masanya, banyak mengajar, membelek buku dan mengarang."

AsSubki menyebut di dalam al-Tabaqat: "Beliau seorang Imam besar menonjol dalam mazhab Shafie, mempunyai nama yang sentiasa disebut."

Al-Murahhil pernah mempunyai perdebatan dengan Ibn Taimiyyah. Ibn Taimiyyah sangat sedih apabila mendengar berita kematian Ibn Murahhil. Katanya: "Mudah-mudahan Allah membaikkan takziah orang Islam terhadapmu wahai Sadruddin."

Di antara karya beliau ialah al-Asybah wan Nazair, puisi yang indah dan syair baik yang dihimpun di dalam Diwan yang dinamakan Tiraz al-Durar.

Kandungan buku:

Buku ini dianggap buku paling awal dalam bidangnya menggunakan nama al-Asybah wan-Nazair. Terdapat buku lain menggunakan nama al-Asybah wan-Nazair tetapi dalam bidang lain. Di antara mereka yang menuruti jejak langkah beliau dalam penamaan ini ialah Tajuddin al-Subki, Ibn Mulaqqin dan lain-lain.

Al-Ala'i menyebut dalam pendahuluan kitab Qawaidnya: "Perkara yang menjadi faktor penulisan buku ini ialah pemerhatianku terhadap buku al-Asybah wan Nazair karangan Sadruddin Abu Abdullah bin al-Murahhil dan aku memberi komentar terhadapnya."

Para cendekiawan Islam menyebut bahawa kitab al-Murahhil tersebut tidak dapat ditulis dengan baik dan kemas oleh pengarangnya disebabkan penulisannya dibuat ketika musafir, seperti yang disebut oleh pengarang Fawat al-Wafayat: " Di antara perkara yang ditulisnya itu ialah ketika beliau di dalam kapal. Beliau namakan karyanya itu al-Asybah wan-Nazair. Beliau meninggal sebelum sempat menyalin balik dan menyemaknya."

As-Subki menyebut di dalam atTabaqat: "Sadruddin mempunyai sebuah kitab al-Asybah wanNazair. Beliau meninggal sebelum sempat menyemak dan mengeditnya. Justru, terdapat perkara-perkara yang ditulis dalam kitabnya mempunyai kesilapan."

Orang yang mengeditnya ialah anak saudaranya Zainuddin. Beliau membuat beberapa penambahan dan membezakan di antara tambahannya dan tulisan asal kitab dengan katanya: "Saya berkata:"

Kaedah-kaedah yang terdapat di dalam kitab tersebut, sama ada kaedah fiqh atau kaedah usul tidak dibuat dalam bentuk yang biasa dikenali oleh ulama-ulama mutaakhirin dari aspek penulisan yang baik. Ia kemudiannya diedit oleh as-Subki dalam kitabnya al-Asybah wanNazair.



Kandungan buku:

1. Buku ini dimulakan dengan perbahasan usul di bawah tajuk: 'Qaedah' iaitu
الجبلي علىيهمل فهل شرعيا يكونان بينو جبليايكون انبين النبي فعل دار اذا
الشرعيات لبيان بعث لانهالشرعي على او التشريععدم لان الاصل
'Apabila perbuatan Nabi saw beredar di antara jibilliy (sifatnya sebagai seorang manusia biasa) dengan syar'i (sifatnya yang memperundangkan), adakah ia dianggap jibilliy kerana asalnya tidak diperundangkan? Atau dianggap syar'i kerana asalnya Nabi saw itu dibangkitkan untuk menerangkan syariat?
2. الاصل فى الاطلاق الحقيقة وقد يصرف الى المجاز بالنية
Asal pengucapan tanpa mengaitkannya dengan sesuatu adalah menurut apa yang diucap dan hakikat sesuatu. Terkadang dianggap majaz iaitu sindiran terhadap sesuatu berdasarkan niat.' Pengarang menyebut kaedah ini di bawah tajuk 'khatimah' (kesudahan) dalam membincangkan beberapa masalah fiqh.
3 استعماله الماء بعض على القادر على يجب منها صور في الواجب بعض على القادر
'Orang yang mampu melakukan sebahagian perkara yang wajib dalam beberapa bentuk, antaranya wajib bagi mereka yang mampu menggunakan sebahagian air yang ada.'
Ia dibincang berdasarkan kaedah 'Perkara yang mudah tidak gugur dengan sebab adanya kesukaran.'
4 منفعة الاموال تضمن بالفوات عند الشافعي
'Kemanfaatan harta perlu diberi pampasan dengan sebab pelupusan harta yang dibuat, menurut pendapat Shafie.' Tajuk ini ditulis dengan meletakkan satu fasal perbincangan di bawahnya dengan membawa beberapa cabang yang berkait dengan kaedah tersebut.
5 ما اوجب اعظم الامرين بخصوصه لا يوجب اهونهما لعمومه
'Perkara yang menyebabkan wajibnya suatu urusan lebih penting di antara dua urusan secara khusus tidak menyebabkan wajibnya urusan yang kurang penting kerana ia hanya bersifat umum.' Pengarang mengeluarkan beberapa cabang fiqh berdasarkan kaedah ini. Di antaranya: 'Zina menyebabkan wajibnya hukum had secara khusus. Sentuhan atau bertindih peha dengan bukan mahram menyebabkan wajibnya hukum takzir. Apabila berlaku zina bersama bertindih peha dan bersentuhan, kita tidak mengatakan takzir mesti dikenakan bersama-sama hukum had.' Kebanyakan kaedah ini disunting dan dibetulkan balik oleh ulama mutaakhirin yang membukukan kaedah-kaedah ini di dalam mazhab Shafie.
6 Di bawah tajuk 'fasal', pengarang menyebut:
في المعتبرهو اعظمهما لاجل المفسدتين اخف احتمال الشرع قياس
'Menanggung kerosakan lebih ringan kerana adanya kerosakan yang lebih besar itulah yang dikira dalam Qias menurut syarak.
7 مستقلايصير وقد بقدرها يتقدر قد للحاجة الدليل خلاف على يثبت ما
'Perkara thabit kerana hajat yang menyalahi dalil diukur menurut ukurannya tertentu, dan terkadang ia menjadi isu yang tersendiri.' Pengarang menyebutkan kaedah ini bersama-sama beberapa masalah dan cabang fiqh. Sesekali beliau membandingkan di antara beberapa cabang fiqh mazhab Shafie dan mazhab Hanafi dan Maliki.

Kitab Ibn Wakil as-Shafie ini dianggap penting kerana ia menjadi rujukan penting bagi ulama terkemudian seperti Tajuddin as-Subki, Zarkasyi dan Ibn Mulaqqan yang menonjolkan kaedah-kaedah yang dibincangkan secara lebih tepat dengan diedit dan ditokok tambah sehingga menjadi kaedah ilmiah terbaik sehingga kini.

3. Al-Majmuk al-Muzhab Fi Qawaid al-Mazhab
Pengarangnya ialah Khalil bin Kaikaldi, digelar Salahuddin, disebut Abu Said, al-Ala'i, as-Shafie. Dilahirkan di Damsyik pada tahun 694 H. Beliau mempelajari ilmu Hadis dari al-Imam al-Hafiz Jamaluddin al-Mizzi, ilmu Fiqh dari Burhanuddin al-Fazari dan al-Kamal az-Zamlakani. Beliau hebat dalam banyak bidang.

Al-Isnawi menyifatkan pengarangnya sebagai Hafiz di zamannya, Imam dalam Fiqh, Usul dan lainnya. Seorang yang cerdik, mempunyai pandangan luas, fasih berbicara, pemurah, mempunyai kedudukan baik.

Ibn Kathir menyebut di dalam al-Bidayah: "Beliau mempunyai kemahiran di dalam ilmu Hadis dan kemampuan yang kuat dalam Fiqh dan bahasa Arab."

Beliau mempunyai beberapa karya, antaranya kitab Qawaid ini, kitab berkenaan al-Mudallisin, Talqih al-Fuhum fi Siagh al-Umum, Jami' al-Tahsil fi Ahkam al-Marasil.

Metodologi penulisan:
1. Meletakkan pendahuluan tentang kelebihan ilmu, peringkat Fiqh dan ciri-ciri istimewanya.
2. Menjelaskan kepentingan Kaedah kulliyyah.
3. Menghimpunkan di antara kaedah usul Fiqh dan kaedah fiqh, mengeluarkan beberapa masalah dan cabang fiqh dari kedua-duanya, menambah beberapa masalah yang hampir maksudnya dan yang diperselisihkan tetapi kembali kepada satu sumber, masalah yang jarang dari yang sebanding dengannya, pengecualian dari kaedah dan lain-lain.
4. Membuat pembaharuan dalam penulisan dari segi susunan kitab dan meletakkan bab-bab. Pengarang menyebut: " Saya memulai dengan dhabit yang menghimpunkan semua bab fiqh yang dibacakan kepada saya secara spontan oleh guru saya Abu al-Maali (iaitu kaedah am yang masyhur: menarik maslahah dan menolak kerosakan). Kedua, saya membahagikan bab-bab fiqh berdasarkan bentuk hukum syar'i sama ada khitab taklif (haram, halal, sah, batal..) atau khitab al-wad' (syarat, rukun…). Kemudian saya menyebut lima kaedah di mana semua masalah fiqh kembali kepadanya. Saya menghuraikan masalah-masalah tersebut, menyebut kaedah yang dirujuk oleh masalah tersebut, dengan dimulakan kaedah paling penting dan seterusnya. Saya mengakhiri penulisan dengan masalah-masalah yang terasing dari puncanya dan yang berkaitan dengannya."
5. Faktor mendorong penulisan buku ini disebut oleh pengarang, antaranya ialah komentar-komentar yang ingin dibuat terhadap al-Asybah wan-Nazair karangan Sadruddin Abu Abdullah bin al-Murahhil, yang disempurnakan kemudiannya oleh anak saudaranya Zainuddin dengan menyebut beberapa masalah. Beliau menambah dari beberapa buah kitab lain seperti kitab al-Talkhis karangan Abu Ahmad bin al-Qas al-Tabari dan dari huraian terhadap kitab tersebut oleh penulis lain, kitab al-Raunaq yang dinisbahkan kepada Sheikh Abu Hamid al-Isfirayini, kitab al-Lubbab karangan Imam Abu al-Hasan al-Mahamili, kitab al-Qawaid karangan Sheikh Izzuddin bin Abdul Salam, kitab al-Furuq baina al-Qawaid karangan al-Qurafi; juga komentar yang dibuat oleh guru pengarang iaitu Abu Ishak al-Fazari dan Abu al-Maali al-Ansari serta nukilan dari kitab-kitab lain yang terdapat dalam mazhab Shafie.
6. Pengarang komited dengan manhaj yang dilalui dalam karangannya dengan membuat rujukan atau ‘notakaki’ setiap pandangan atau nukilan kepada sumbernya yang asal. Semua bentuk rujukan disebut secara tersusun. Pengarang kelihatan agak terkehadapan dalam metod penulisannya ini berbanding dengan orang lain.
7. Di antara ciri penting kitab ini ialah pengarang ‘memenatkan’ dirinya dengan menghuraikan 5 kaedah asas. Beliau membuat huraian cukup panjang. Beliau cuba mengembalikan segala masalah fiqh kepada 5 kaedah asas tersebut. Beliau menyebut di akhir huraiannya terhadap 5 kaedah asas tersebut: “Dengan sempurnanya huraian tersebut, jelas dapat dilihat semua masalah fiqh mungkin dapat dikembalikan kepada 5 kaedah tersebut. Sama ada secara langsung, dan itulah majoritinya, atau tidak langsung, dan ia dirujuk kepada salah satu dari kaedah-kaedah tersebut.”
8. Kitab ini mempunyai kelebihannya apabila pengarang menguatkan kaedah-kaedah, khususnya 5 kaedah asas dengan dalil-dalil dari al-Quran dan as-Sunnah. Ia memperlihatkan ketokohan al-Ala’i sebagai seorang ulama Hadis dan pengkritik yang baik.
9. Selain 5 kaedah asas, kitab tersebut tidak memperlihatkan sangat sebagai kitab kaedah fiqh kerana tidak banyak kaedah fiqh yang dibincang. Bilangannya sekitar 20 kaedah sahaja. Kebanyakannya dipetik dari al-Asybah wan Nazair karangan Ibn al-Wakil yang disunting sedikit sebanyak.
10. Di antara contoh kaedah yang dibincang:
بدليل الا المجاز على تحمل فلا الاطلاقعند الحقيقة الالفاظ في الاصل
“Asal tuturan tanpa dikaitkan dengan apa-apa ialah hakikat (iaitu mengikut maksud asal perkataan tersebut). Tidak dianggap majaz (iaitu bukan makna hakiki) melainkan adanya dalil yang menunjukkan demikian.”
الحظر جانب غلب اباحة و حظر اجتمعاذا
“Apabila berhimpun larangan dan keharusan, aspek larangan dipakai.”
للحدود الدارئة الشبهات في قاعدة
“Kaedah: berkenaan kesamaran yang menolak dari dilaksanakan hukum hudud.”
لمصلحته تداركا قضاؤه لزمه ففات شيء عليه وجبمن كل
“Sesuatu yang menjadi kewajipan seseorang, lalu ia tidak melakukannya, wajib mengqadhakannya kerana mengembalikan maslahahnya (iaitu mendapatkan balik perkara yang menjadi wajib kepadanya itu)”
مباشرته له يجوز لا وما لغيره التوكيل منه صح الشيء مباشرة منه صحت من كل
غيرهعن بالوكالة فيه التصرف لاو توكيله يصحلا
“Setiap orang yang sah darinya melakukan sesuatu perkara, ia sah diwakilkan kepada orang lain. Perkara yang tidak boleh dilakukannnya sendiri tidak sah diwakilkan kepada orang lain; tidak juga bertindak terhadap perkara tersebut sebagai wakil dari orang lain.”
Kesimpulannya, sebahagian kaedah fiqh yang disebut oleh pengarang ialah kaedah fiqh yang terdapat dalam mazhab Shafie yang mungkin tidak sesuai bagi mazhab yang lain. Ada kaedah-kaedah yang layak menjadi dhawabit fiqhiyyah dalam bab fiqh tertentu. Kitab al-Ala’i ini menjadi contoh terbaik mengeluarkan masalah cabang fiqh menurut kaedah usul.

4. Ringkasan Qawaid al-Ala’i
Di antara orang yang awal meringkaskan kitab Qawaid al-Ala’i ialah as-Sarkhadiy (792H). Beliau menghimpunkan kaedah-kaedah dari kitab al-Ala’i dan al-Isnawi dengan disunting dan ditambah. Ini disebut oleh Ibn Hajar. Kemudian Ibn Khatib ad-Dahsyah (834H) juga menuruti metod yang sama dengan menghimpunkan kaedah-kaedah dari kitab al-Ala’i dan al-Isnawi juga. Selepas itu beliau menyusun mengikut bab-bab fiqh seperti di dalam kitab Minhaj karangan Imam Nawawi dan memasukkan kaedah-kaedah tertentu di bawahnya.

5. Al-Asybah wan-Nazair
Penulisnya ialah Abdul Wahhab bin Ali bin Abdul Kafi bin Ali bin Tamam as-Subki. Digelar Abu Nasr. Disebut sebagai Tajuddin. Dilahirkan pada tahun 727H. Beliau mendengar Hadis di Mesir. Berpindah ke Damsyik bersama bapanya Taqiyyuddin asSubki. Mengambil Hadis di sana dari al-Hafiz al-Mizzi, kemudian sentiasa bersama dalam majlis al-Hafiz az-Zahabi.

Ibn Hajar berkata: “Beliau bersungguh mempelajari Hadis, menulis catatan-catatan, bersungguh dalam mempelajari Fiqh, Usul dan bahasa Arab sehingga mahir dalam usia yang masih muda. Beliau mempunyai balaghah yang hebat dan pemidato yang baik. Karya-karyanya tersebar ketika hidupnya.”

Di Syam, beliau dilantik mengetuai Qadha’. Diuji dengan sebab Qadha, dan beliau bersabar terhadap ujian tersebut. Beliau meninggal kerana sakit taun ketika umurnya 44 tahun.

Di antara karyanya yang besar ialah Jam’ul Jawami’ fi Usul al-Fiqh, kitab Qawaid Fiqhiyyah iaitu al-Asybah wan-Nazair, Tabaqat Shafiiyyah al-Kubra (dalam beberapa jilid) dan 2 jilid Syarah Mukhtasar ibn al-Hajib al-Usuli.

Kandungan buku:
Buku al-Asybah wan-Nazair ini dianggap di antara buku terbaik dalam bidang kaedah Fiqh. Pengarang menyebut kaedah usul dan fiqh, menjelaskan kedua-duanya dengan cukup baik. Perkara ini tidak menghairankan kerana beliau ialah seorang yang mendalam ilmunya dalam kedua-dua bidang-fiqh dan usul. Kehebatan ilmu beliau dimanifestasikan dalam kitab al-Asybah wan-Nazairnya. Walaupun kitab ini tidak membincangkan masalah fiqh, namun ia adalah antara kitab terbaik dalam bidang kaedah fiqh kerana susunan bahasanya yang baik dan kemantapan idea yang dilontarkan ketika membincangkan sesuatu kaedah. Justru, ada ulama lain menurut metod penulisan Tajuddin as-Subki. Di antaranya Ibn Nujaim yang juga menulis kitab kaedah fiqh dengan menggunakan nama al-Asybah wan-Nazair.

As-Subki juga menyebut faktor yang menyebabkan beliau menulis kitabnya ialah melihat kepada kitab al-Asybah wan-Nazair karangan Ibn al-Wakil yang memerlukan kepada penjelasan yang lebih mendalam, penyusunan yang lebih baik dari awal kitab hingga akhirnya kerana Ibn Wakil meninggal dalam keadaan isi karyanya itu bertebaran di sana-sini. Bapa Tajuddin as-Subki gembira dengan keinginannya dan menggalakkannya melakukan tugas tersebut.

As-Subki menggunakan metod berikut dalam penulisannya:
i. Memulakan kitab dengan 5 kaedah asas dan menghuraikannya dengan cukup baik.
ii. Menyebutkan kaedah-kaedah fiqh penting yang dinamakan ‘al-Qawaid al-Aammah’ keran ia tidak khusus kepada sesuatu bab sahaja.
iii. Menyebutkan dhawabit fiqhiyyah dan menamakannya ‘al-Qawaid al-khassah’.
iv. Menyebutkan beberapa masalah Aqidah yang lahir darinya beberapa cabang fiqh yang diperlukan oleh seorang ulama fiqh.
v. Membincangkan kaedah-kaedah usul dan masalah-masalahnya.
vi. Meletakkan satu bab yang membincangkan beberapa kalimah bahasa Arab dari aspek Balaghah dan Nahu yang muncul darinya beberapa cabang fiqh.
vii. Meletakkan satu bab membicarakan perselisihan pandangan di antara Abu Hanifah dan Imam Shafie.
viii. Beliau mengakhiri kitabnya dengan beberapa perbahasan yang penting dan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian.

As-Subki menggunakan metod yang cukup baik dalam penulisannya. Setiap kali beliau memulakan sesuatu bab, beliau akan menyebutkan satu pendahuluan ringkas memberikan gambaran perbincangannya. Dalam metodologi penulisan masakini, mungkin boleh disebut sebagai sinopsis.

As-Subki menyebut hampir 60 kaedah dengan huraian yang berbeza panjang dan ringkasnya.
Di antara contoh-contoh kaedah yang disebut:
i. اذا اجتمع امران من جنس واحد دخل احدهما في الاخر غالبا
“Apabila bertemu dua perkara dari jenis yang sama, biasanya salah satu memasuki yang satu lagi.”
ii. ما لا يقبل التبعيض يكون اختيار بعضه كاختيار كله و اسقاط بعضه كاسقاط كله
“Perkara yang tidak menerima pembahagian, jika dipilih sebahagian maka dikira dipilih semuanya. Menggugurkan sebahagiannya dikira menggugurkan keseluruhannya.”
Beberapa ulama mazhab Shafie menyebut: واختيار بعض ما لا يتجزا اختيار لكله “Pemilihan sesuatu perkara yang tidak boleh dibahagi dikira pemilihan keseluruhan.”
As-Subki menyebut dengan cara yang lebih umum tetapi menepati maksud dengan katanya: الحكم على بعض ما لا يتجزا بنفي او اثبات حكم على كله
“Menghukum ke atas sebahagian dari perkara yang tidak menerima pembahagian dengan cara naïf atau ithbat ialah dikira menghukum ke atas semuanya.”
iii. الخروج من الخلاف اولى وافضل
“Keluar dari perselisihan ulama lebih utama dan afdhal.”
iv. المقترن بالمانع الحسي او الشرعي كالعدم
“Perkara yang menyertai dengan adanya halangan yang dicapai pancaindera atau secara syarak dikira seperti tiada.” Contohnya: “Apabila seorang mendapati adanya air sedangkan dihalang oleh penghalang yang sukar ia mendapatkannya atau air tersebut dihajati oleh binatang tunggangan atau ternakan bersamanya atau ia sakit yang menghalangnya dari menggunakan air. Maka dalam semua perkara ini, haruslah ia bertayammum.”
v. الميسور لا يسقط بالمعسور
“Perkara yang mudah dilakukan tidak gugur dengan sebab adanya kesukaran.”
vi. Imam Shafie menyebut:
الظن ملغى الا ما قام الدليل على اعماله
“Zan tidak dipakai sehingga adanya dalil yang menunjukkan ia dipakai.”
Imam Malik menyebut: “Zan dipakai melainkan adanya dalil yang menunjukkan ia tidak dipakai.” As-Subki memindahkan kaedah ini dari ibn Abdul Salam. As-Subki menggunakan ibarat: الاصل عدم العمل الا ما قام الدليل على اعماله
“Asalnya tidak digunakan melainkan adanya dalil menggunakannya.”
Juga dikatakan: الاصل العمل الا ما قام الدليل على الغائه
“Asalnya digunakan melainkan adanya dalil bahawa ia tidak dipakai.”
vii. كل متصرف عن الغير فعليه ان يتصرف بالمصلحة
“Setiap tindakan mewakili dari pihak lain hendaklah digunakan dengan menjaga kepentingan pihak tersebut.”
viii. الاموال الضائعة يقبضها القاضي حفظا لها على اربابها
“Harta hilang yang dijumpai dipegang oleh Qadhi kerana memelihara harta tersebut bagi pihak tuannya.”

Jika diteliti penulisan as-Subki dalam al-Asybah wan-Nazairnya ini, didapati ciri-ciri berikut:
i. Pembentangan kaedah dengan ibarat tersendiri yang tidak ada pada orang lain.
ii. ‘Membersihkan’ beberapa kaedah yang diterima dari ulama terdahulu dan memberikan warna baru dari segi sighah dan ibarat dengan cara yang lebih mantap.
iii. Menyebut sighah berbeza bagi sebahagian kaedah serta merujukkannya kepada mereka yang berkata demikian. Ini dapat membantu memahami perkembangan ilmu kaedah fiqh.

Kesimpulannya, kitab al-Asybah wan-Nazair karangan Tajuddin as-Subki adalah karya besar yang cukup hebat dalam bidang kaedah fiqh yang memberikan sumbangan cukup berharga kepada khazanah ilmu Islam ketika itu dan zaman selepasnya.

No comments: