Tapi sebenarnya....

Alangkah mudah bagi kita untuk mengatakan sesuatu ciptaan manusia itu sebagai suatu keajaiban..manakala ciptaan-ciptaan Tuhan yang Agung kita anggap sebagai sesuatu yang 'biasa'..
Semoga kita hayati keajaiban yang betul-betul ajaib dalam hidup kita..
Renungkan...

Wednesday, July 7, 2010

Berkenalan Dengan Mazhab 4

Mazhab Hanafi:
Pengasasnya ialah Imam Abu Hanifah al-Nu'man (70 - 150 Hijrah). Antara anak muridnya yang masyhur ialah Imam Abu Yusuf (113-182H), Muhammad Bin al-Hasan al-Syaibani (132-189H). Mazhab Hanafi merupakan mazhab tertua dalam kalangan mazhab yang empat. Ia merupakan mazhab yang dipegang di Iraq pada zaman Abbasi. Ia juga merupakan mazhab rasmi dalam muamalat pada zaman Kerajaan Uthmaniah

Mazhab Maliki:
Pengasasnya ialah Imam Malik Bin Anas (95-179 Hijrah). Dilahir, dibesarkan serta meninggal dunia di Madinah. Justeru, beliau digelar 'Imam Darul Hijrah'. Antara murid Imam Malik ialah Muhammad Bin al-Hasan, Imam Syafei dan sebagainya. Mazhab ini bermula di Madinah dan seterusnya berkembang hingga ke Bahrain, Kuwait, Morocco, Andalus, Afrika Utara dan lain-lain.

Mazhab Syafei:
Pengasasnya ialah Abu Abdullah Muhammad Bin Idris al-Syafei (150-204 Hijrah). Dilahirkan di Gaza, Palestin pada tahun yang sama Imam Abu Hanifah meninggal dunia. Membesar di Makkah dan berguru kepada Imam Malik, kemudian berpindah ke Baghdad pada tahun 195 H. Ketika di Iraq, beliau menghasilkan beberapa buku dan pandangannya di Iraq dikenali sebagai 'qaul qadim'. Kemudian berhijrah ke Mesir tahun 200H dan menghasilkan kitab 'al-Risalah' dalam Usul Fiqh, dan 'al-Umm' dalam fiqh. Pandangan Imam Syafei di Mesir dikenali sebagai 'qaul jadid'. Antara murid Imam Syafei ialah Imam Ahmad Bin Hanbal, al-Buwaiti dan sebagainya. Mazhab Syafei berkembang di Mesir, Yaman, Asia Tenggara.

Mazhab Hanbali:
Pengasasnya ialah Abu Abdullah Ahmad Bin Hanbal al-Syaibani. Dilahirkan di Baghdad tahun 164 Hijrah dan berhijrah ke serata tempat untuk menuntut ilmu. Antara kitabnya yang masyhur ialah Musnad Imam Ahmad yang mengumpulkan di dalamnya hampir 40 ribu hadis.

Sheikh al-Marbawi – Tokoh Persuratan Arab Melayu

Sheikh al-Marbawi – Tokoh Persuratan Arab Melayu
Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(Artikel ini telah disiarkan di majalah Milenia Muslim edisi Mac 2007)

Allahyarham Syeikh Mohd Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi adalah seorang ulamak besar yang tidak asing lagi bukan saja di Nusantara malahan di Mesir dan Makkah terutamanya dalam bidang Bahasa Arab, Ilmu Hadis, Tafsir dan Fiqah.

Beliau telah dilahirkan pada tahun 1893 dan secara tepatnya pada tahun 28 Zulkaedah 1313 Hijrah di Makkah. Setelah lama berada di Makkah, keluarganya mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia iaitu pada tahun 1913 bersamaan tahun 1333 Hijrah. Sekembalinya ke Tanah Melayu, Allahyarham Syeikh Mohd Idris al-Marbawi mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di beberapa buah sekolah pondok di Kuala Kangsar, Kedah, Bukit Mertajam dan Kelantan.

Sejak dari kecil lagi, al-Marbawi telah menunjukkan kemampuan akademiknya yang memberangsangkan. Ketika berusia sepuluh tahun, beliau telah menamatkan pengajian hafalan al-Quran. Ketika berusia 10 tahun juga, beliau telah mampu menghafaz sebanyak 10 juzuk Al Quran di samping beberapa buah kitab lain.

Kecenderungan ilmiah yang tertambat kukuh dalam jiwanya telah mendorong beliau menuntut ilmu di pondok-pondok yang merupakan institusi pendidikan Islam yang terpenting di alam Melayu pada ketika itu. Antaranya Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Pondok Tuan Hussain Al-Masudi, di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan.

Melihat kepada kemampuan akademik dan minatnya kepada ilmu Islam, ayahanda beliau mengesyorkannya agar menyambung pengajian ke timur tengah sama ada ke Mesir ataupun kembali semula ke Mekah. Lalu, pada tahun 1924, beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau sempat bertugas sebagai guru agama di Perak sebelum menyambung pengajiannya ke Universiti al-Azhar.

Al-Marbawi di Mesir

Di Mesir, beliau menggondol kejayaan yang membanggakan dengan memperoleh ijazah 'Aliyah (tertinggi) dari universiti al-Azhar. Sebenarnya al-Marbawi merupakan anak kelahiran Perak yang pertama meneroka pengajian Islam di Mesir.

Sebagai angkatan pertama yang baru mengenal suasana di sana, al-Marbawi mendapati masalah komunikasi dengan bahasa Arab menjadi masalah utama dalam kalangan anak Melayu. Bermula dari sinilah timbul idea untuk menyusun sebuah kamus Arab-Melayu dan usaha tersebut telah dimulakan secara kolektif bersama lima orang lagi rakannya. Tetapi usaha tersebut terpaksa disiapkan bersendirian lantaran penarikan diri rakan-rakannya. Walaupun bersendirian, beliau tetap nekad untuk menyiapkan kamus tersebut.

Akhirnya, kamus Arab-Melayu tersebut yang terkenal sebagai 'Kamus al-Marbawi' itu, berjaya disiapkan pada tahun 1927. Kamus itu diulang cetak berpuluh-puluh kali kerana sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan pelajar Asia Tenggara. Kamus al-Marbawi menjadi terkenal sehingga ke hari ini. Kejayaan menyusun kamus ini telah menjadi langkah pertama kepada al-Marbawi untuk mengorak langkah seterusnya dalam penghasilan karya Islam yang lain.

Sumbangan Karya al-Marbawi

Karya-karya al-Marbawi yang dihasilkan adalah melebihi 20 buah buah dalam pelbagai disiplin ilmu Islam. Ini sekaligus membuktikan al-Marbawi dalam pengajian ilmu-ilmu Islam.Walau bagaimanapun, kemasyhurannya lebih ditonjolkan dalam dunia persuratan Arab-Melayu berbanding disiplin ilmu yang lain. Apatah lagi, beliau pernah dianugerah Ijazah Kehormatan Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1980. Anugerah yang diterima ini sebagai mengenang jasa yang diberikan oleh beliau dalam bidang persuratan Arab-Melayu.

Selain kamus Arab-Melayu, al-Marbawi juga telah menghasilkan karya yang penting dalam bidang hadith. Antara tulisan beliau dalam bidang ini ialah Bahr al-Madhi yang merupakan ringkasan dan ulasan kepada sunan al-Tirmidhi. al-Marbawi juga turut menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu kitab Bulugh al-Maram iaitu sebuah karya hadith yang disusun berdasarkan bidang Fiqh oleh seorang tokoh Hadith tersohor iaitu Ibn Hajar al-Asqalany. Dua karya dalam bidang hadith berbahasa Melayu ini ialah antara karya yang penting, sulung, dan terbesar pernah dihasilkan oleh seorang ulama’ Nusantara.

Dalam bidang Tafsir al-Quran pula, beliau telah menulis tafsir Surah Yasin, Tafsir al-Quran al-Marbawi, Tafsir al-Quran Nur al-Yakin, Terjemahan Tafsir Fath al-Qadir, Tafsir Juz Amma, Tafsir Al-Fatihah, dan sebuah karya berjudul Quran Bergantung Makna.

Selain bidang tersebut, al-Marbawi juga telah menghasilkan tulisannya dalam bidang Fiqh, Aqidah, dan Falsafah. Antara tulisan beliau ialah kitab Asas Islam, Kitab Nizam al-Hayah, Kitab Pati Hukum-hukum Ibadah, Kitab Usul Islam Pada Membicarakan Mengambil Air Sembahyang, sebuah ensiklopedia yang dinamakan sebagai Kamus Segala Ilmu, karya berjudul Punca Agama, Perbendaharaan Ilmu, dan banyak lagi.

Kamus al-Marbawi dan Bahrul Madhi

Kitab yang paling tersohor yang telah dihasilkan oleh al-Marbawi ialah Kamus Arab-Melayu dan kitab Bahrul Madhi. Kedua-dua kitab ini digunakan sehingga ke hari ini. Antara keistimewaan kedua-dua hasil karya beliau ini adalah seperti berikut:-

Kamus al-Marbawi

Kamus ini merupakan kamus dwibahasa Bahasa Arab –Bahasa Melayu. Ia disusun dalam 2 jilid, iaitu jilid yang pertama bermula daripada huruf alif sehingga za'. Manakala jilid yang kedua bermula daripada huruf `ain sehingga ya'. Kamus ini mengandungi 18, 000 kata entri Arab dan 700 gambar. Ianya dicetak oleh Matba`ah Mustafa al-Babiy al-Halbi Wa Awladihi di Mesir. Kamus ini menjadi rujukan pelajar di Malaysia bagi setiap peringkat sama ada peringkat rendah, menengah mahu pun universiti.


2. Kitab Bahrul Mazi

Kitab Bahr al-Madhi merupakan salah satu sumbangan terpenting beliau dalam pengajian Hadith di Malaysia. Bahr al-Madhi ialah kitab hadith bertulisan jawi terbesar dan antara yang terawal pernah wujud di alam Melayu. Karya ini amat padat dan mendalam, bahkan dikatakan telah menampung kekosongan karya asli dalam bidang ilmu hadith di rantau ini. Karya ini memuatkan ulasan dan huraian hadith dalam bentuk fikah, aqidah, tasawuf, dan muamalat.

Kelainan dan keistimewaan kitab ini amat jelas, apatah lagi ulasan al-Marbawi mengikut acuan dan suasana masyarakat Malaysia. Karya ini memberikan nafas baru kepada pemahaman hadith-fiqh secara mendalam di samping mendidik masyarakat Malaysia tentang hubungan yang earat antara kedua-duanya.

Anugerah Yang Diterima Oleh al-Marbawi

Atas sumbangan dan jasanya yang besar dalam bidang keagamaan dan persuratan, maka pada tanggal 5 Julai 1980, Allahyarham dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada enam tahun berikutnya iaitu pada pada 1 Muharram 1408H beliau dinobatkan pula sebagai tokoh Maal Hijrah Malaysia yang pertama iaitu pada tahun 1408 Hijrah.

Tanggal 13 Oktober 1989 bersamaan 13 Rabiul Awal 1409 Hijrah telah meninggalkan kesedihan kepada rakyat Malaysia yang dahagakan ilmu dan sumbangan al-Marbawi apabila beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Besar Ipoh pada jam 8.40 pagi. Pemergiannya pada usia 96 tahun itu telah disemadikan di pusara Kampung Lubuk Merbau, Perak.

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W

Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijrah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."